Maka dengan rasminya pada 24 Jun 2016 - Tan Sri Muhyidin Yasin dan DS Mukhriz dipecat keluar terus dari UMNO , Shafie Afdal pula digantung sementara menunggu laporan salahlakunya siap, sememangnya ini sudah dijangkakan dari awal lagi - ini bukanlah kali pertama, orang no. 2 dijaras dan dicantas dalam UMNO- sebelum ini DS Anwar Ibrahim dan sebelum itu Tun Mahathir sendiri punya 4 timbalan perdana menteri.
Berbeza dengan Najib; Tun Mahathir - walaupun semasa hayat pemerintahannya dia bolehlah dianggap pelopor kepada pemerintahan diktator negara ini, tapi seni menjaras orang no. 2 dalam UMNO mahupun kerajaan bolehlah dinggap sebagai licik dan terselindung. Kepakaran Tun Mahathir untuk berselindung disebalik tabir - sedang orang-orang kanannya menjalankan strategi menghancurkan pihak lawan, seolah-olah menampakkan tangannya yang suci bersih tidak ternoda.
Mungkin sebelum ini- MT Umno atau lebih tepat lagi Najib - teragak-agak untuk menendang keluar dua tokoh politik ini, tapi selepas kemenangan bergaya di Sarawak dan di dua PRK (K. kangsar dan Sg. besar), UMNO/ Najib tidak menoleh kebelakang lagi, Muhyidin dan Mukhriz harus dilupus terus dari lanskap politik tanahair. Apatah lagi dengan semangat berapi-api Najib untuk mengekalkan momentum kejaguhannya menghadap 2 PRK serentak.
Dengan reputasi Najib yang telah musnah sama sekali akibat skandal 1 MDB - kemenangan demi kemenangan dalam pilihanraya setidak-tidaknya dapat dan telah menyakinkan ahli-ahli parti bahawa mereka akan lama lagi berkuasa, akan lebih lama lagi bertakhta di Putrajaya - menyokong Najib adalah satu tindakan berbaloi dan betul, bukanlah tugas ahli-ahli parti untuk menilai integriti kepimpinannya, rakyat yang akan mengundi mereka nanti yang akan membuat pilihan dan rakyat telah pun bersuara dengan kemenangan di Sarawak dan dua PRK- mereka masih punya harapan kepada UMNO/BN untuk mentadbir dan terus menerajui negara. Seharusnya rakyat di Malaysia sentiasa harus ingat bahawasanya parti politik hanyalah ditubuhkan untuk menang pilihanraya dan berkuasa, bukan untuk menilai kredibiliti pemimpinnya - rakyat yang akan menilainya melalui peti undi.
Semua rakyat Malaysia tahu - Najib akan terus kekal berkuasa bukan kerana kekuatan dan kredibiliti mahupun integritinya - tetapi kerana keruntuhan parti-parti lawannya, lebih tepat lagi parti pembangkang - undi telah berpecah kepada 3, formula yang telah dapat mengekalkan 2 pertiga parlimen sepanjang pemerintahan Tun Mahathir. Najib akan terus kekal berkuasa bukan kerana dia atau UMNO kuat - tetapi kerana parti pembangkang yang telah berkecamuk dan bercakaran sesama sendiri.
Keruntuhan parti pembangkang selepas berkuburnya Pakatan Rakyat pada Jun 2015 - sebenarnya telah menguburkan sama sekali harapan rakyat untuk menundukkan BN, terutamanya selepas pemergian Nik Aziz, Karpal Singh dan setelah Anwar Ibarahim dipenjarakan.. strategi Najib untuk melumpuhkan parti pembangkang adalah jasa yang terlalu besar untuk tidak dilupakan ahli-ahli UMNO. Rakyat makin menyampah dan meluat kepada parti pembangkang, yang lebih mengutamakan jawatan dan kuasa dari perjuangan menumbangkan BN - rakyat makin nampak, bahawa mereka dicampakkan ketepi oleh parti pembangkang, lebih tepat lagi - parti pembangkang tidak lagi boleh dipercayai sama sekali untuk memimpin negara.
Tun Mahathir sendiri yang berkempen untuk pembangkang di pilihanraya samada di Sarawak, Kuala Kangsar atau di Sg. Besar mungkin tidak sedar atau terlupa bahawasanya kepimpinan UMNO/BN/Negara adalah legasi peninggalannya - legasi yang ditinggalkannya untuk PM terus berkuasa tanpa dapat diusik walau seinci - apa dia tidak tahu bahawa "Deklarasi Rakyat" adalah satu perbuatan bodoh dan paling sia-sia yang pernah dilakukan disepanjang hidupnya. Ironinya - dia yang dulu satu ketika pernah bermusuh dengan istana, hari ini terpaksa menyembah kepada raja-raja kembali untuk menjatuhkan Najib.
Kita sendiri telah melihat keruntuhan dan huru-hara di timur tengah adalah akibat pemerintahan diktator di negara mereka, akhirnya rakyat terpaksa bangun - nampaknya Malaysia juga mungkin sedang menyiapkan diri kearah itu, kita tidak tahu apa maknanya negara "khalifah" sebagaimana disebut Rasulullah, dimana nanti ketika itu semua negara islam akan ditadbir oleh Imam Mahdi di akhir zaman. Malaysia nampaknya tidak terkecuali - percayalah, kekalutan timur tengah - bukanlah menjadi pengajaran kepada kita, sebaliknya kita seperti terlalu berharap agar kecelaruan itu akan cepat menjengah tanah air kita. Kita sedang menyediakan platform untuk kearah itu. Semoga nanti - Allah akan sentiasa melindungi kita dan terus merahmati Negara tercinta ini....

Comments
Post a Comment