Masih ingat lagi ketika diawal persaraan Tun Mahathir Mohamad pada Oktober 2003, dengan segala dukacitanya berkata bahawa di berasa amat sedih kerana tidak berjaya mengubah nasib orang-orang Melayu. Dengan segala formulanya selepas Malay Dilemma diterbitkan pada 1970 (11 tahun sebelum beliau dilantik sebagai PM), beliau masih gagal mengubah (membetulkan) orang Melayu. Selepas 52 tahun merdeka, pemerintahan Melayu masih gagal mengubah orang Melayu. Satu Jawapan yang tidak boleh diterima akal. Tun Mahathir dengan beraninya membubarkan DEB yang dimulakan oleh Tun Abdul Razak pada 1971 (selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969) dan digantikan oleh Dasar Pembangunan Nasional, 1991 alasannya ialah Melayu terlalu bergantung kepada tongkat.
Adakah cendiakawan barisan hadapan kerajaan ketika itu menilai dan mendapatkan formula semudah itu. Beban kesalahan itu (ketidakberjayaan mengubah orang Melayu) harus dipikul bersama kerajaan yang memerintah, bukan oleh Tun Mahathir seorang diri (itupun mengaku selepas beliau bersara). Tun Mahathir dikenali didunia kerana kritikannya yang tajam. Tidak dinafikan bahawa Tun Mahathir telah banyak berjasa memacu Negara kearah lebih maju, kerana Tun Mahathir adalah seorang yang berani, tetapi adakah akan wujud bangsa Melayu yang berani seperti Tun Mahathir?.. Adakah Tun sendiri melahirkan bangsa Melayu yang berani sepertinya. Bolehkah Tun menerima kritikan yang tajam dan pedas terhadap pemerintahannya oleh seorang yang berbangsa Melayu yang berani sepertinya?
Meletakkan alasan kesalahan itu kepada “Tongkat” adalah satu alasan senang dan dengan mudah cuba melarikan diri dari tanggungjawab. Adakah persediaan orang Melayu untuk berubah, adakah orang Melayu seperti bangsa-bangsa lain yang begitu berani untuk berubah.
Menyedari bahawa satu ketika dahulu, dengan majority pengundi adalah orang Melayu, pemerintah menyedari bahawa pengundi-pengundi Melayu adalah pembuat keputusan yang major dalam menentukan kerajaan yang akan memerintah. Mengenggam minda orang Melayu, supaya tidak terkeluar dari acuan kehendak politik mereka adalah penting bagi menjayakan matlamat mereka. Maka jadilah bangsa Melayu satu bangsa yang terlalu bergantung dengan kerajaan, yang telah dipasak mindanya dari kecil bahawa hanya kerajaan yang sediada itu hanyalah satu-satunya kerajaan yang akan menyenangkan mereka pada masa itu dan pada masa akan datang, yang terus berharap agar dapat menjadi cikgu, kerani atau askar atau apa saja tetapi tetap bekerja dengan kerajaan.
Siapa yang berani untuk berfikir menyangkal kenyataan itu seperti terlalu menderhaka, tidak bersyukur dan tidak mengenang budi. Kesannya, Melayu menjadi satu bangsa yang penakut untuk membuat keputusan, takut untuk membuat pembaharuan. Takut untuk mengambil risiko, takut bankrap kalau berniaga, maka lahirlah satu bangsa penakut yang hanya berharap agar dapat bekerja kerajaan. Tidak keterlaluan kalau dikatakan pemerintah sendiri sebenarnya yang berharap bahawa orang-orang melayu perlu terus bergantung kepada mereka untuk kelangsungan hidup mereka, supaya banyak orang melayu memakan budi pemerintah sekenyang-kenyangnya dan sekiranya melawan, dengan mudah dikatakan tidak mengenang budi, tidak tau bersyukur dan menderhaka, dan ada hukuman yang menanti bagi penderhaka-penderhaka ini.
Ketika melangkah kaki ke Menara gading, ciri-ciri seorang cediakawan Melayu yang berpendirian teguh dan berfikir diluar kotak adalah sangat merbahaya, mengkaji dan mengkritik dasar kerajaan secara telus dan ilmiah adalah satu kesalahan yang tidak terampunkan, sehingga boleh dan harus dibuang pengajian. Jadi lahirlah anak-anak melayu cediakawan yang hanya pandai mengangguk, mengangguk dan terus mengangguk. Ingat !!.. jangan jadi penderhaka dan orang yang tidak tau mengenang budi. Adakah patut mereka dikecualikan dari menilai dan berfikir tentang isu-isu semasa?. (lihat AUKU yang menjadikan orang Melayu langsung tidak kreatif dalam berfikir) Mengapa hanya orang Melayu sedangkan ramai juga yang bukan melayu menjadi pelajar, banding sendiri majority pelajar-pelajar di institusi pengajian awam, atau bangsa lain tidak peduli?? Adakah bangsa lain sewenangnya di gelar penderhaka atau orang yang tidak mengenang budi sekiranya mereka tidak bersependapat dengan dasar kerajaan. Penderhaka-penderhaka ini akan dibela secara lantang oleh VIP-VIP mereka, silap-silap orang yang menuduh pula akan dituduh rasis atau perkauman oleh mereka. Mereka lebih bebas dan berani memberi pendapat berbanding kita orang-orang Melayu. Lihat Namewee.. apa nasib Namewee sekiranya dia seorang Melayu?, dia akan digelar penderhaka, tidak tau bersyukur dan tidak mengenang budi, kesalahan dan dosa yang tidak boleh diampunkan.. Keluarga dan keturunannya akan dibenci seumur hidupnya. Orang Melayu sudah sepatutnya berani memberi pendapat, dan berani juga menerima dan menghormati pendapat orang lain yang berbeza, bukan mendendami orang yang berbeza pendapat sehingga ke akhir hayat mereka. Menghukum penderhaka kepada bukan melayu akan digelar rasis dan perkauman.
Setelah habis belajar anak-anak Melayu yang tidak berani ini memulakan kerjaya mereka dengan bekerja kerajaan, malah ibu-bapa mendabik dada sebangga-bangganya sekiranya kesemua anak-anak mereka bekerja tetap dengan kerajaan hatta tukang kebun sekalipun. Tidak percaya?? Anda sendiri boleh membuat kajian, berapa ramai anak-anak Melayu yang memiliki Ijazah yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir (kelayakan SPM saja), asal saja dapat bekerja tetap dan berpencen dengan kerajaan dan bandingkan dengan bangsa-bangsa lain, adakah ada anak-anak Tionghua yang mempunyai ijazah mahu bekerja sebagai Pembantu Tadbir jabatan Kerajaan... ada??. Orang Melayu, walaupun mempunyai Ijazah malah PHD sekalipun, masih takut untuk melepaskan ketebergantungan mereka kepada kerajaan. Hanya bekerja tetap dengan kerajaan jalan paling mudah untuk menjamin masa depan, tidak perlu mengambil risiko membuat sesuatu yang belum tentu menjamin kelangsungan hidup mereka. Maka jadilah orang Melayu, penjawat awam terbanyak di Malaysia, adakah kaum-kaum lain mau menyertai gerombolan ini?? Tidak.. mereka tidak mau kerana bergaji rendah dan langsung tidak mencabar atau mereka sendiri tidak suka apabila pendapat dan pandangan mereka dikongkong. Dengan mudahnya cengkaman berterusan keatas majority bangsa Melayu penjawat awam ini berterusan. Sokongan padu dan tidak berbelah bagi mestilah diberikan sepenuhnya kepada kerajaan yang memerintah, sebut apa saja isunya penjawat awam mesti dan wajib menyokong kerajaan. Walaupun sekiranya ada yang berbeza pendapat, simpanlah pendapat itu sebaik mungkin sekiranya tidak mau terlibat dengan misi balas dendam.. ditukar, tidak dinaikkan pangkat atau lain-lain tindakan yang menyekat perkembangan kerjaya. Semua penjawat awam tau, ketika menjelangnya PRU, penjawat awam seharusnya dan wajib memberikan undi kepada kerajaan sedia ada (Goverment Of the Day) sekiranya tidak mau ditukar kehujung dunia. Orang Melayu telah terlalu lama dimomokkan oleh pemerintah-pemerintah Melayu itu sendiri. Lahirlah bangsa melayu yang terus-terusan penakut dan mudah sangat diperbodohkan. Langsung tidak ada motivasi, keyakinan diri kerana kesan psikologinya amat parah, bayangkan seorang manusia yang sedari lahir ditakut-takutkan.. anda sendiri boleh bayangkan (kalau Yahudi, bangsa yang digelar sebagai perosak dimuka bumi ini, yang merosakkan dan menghancurkan bangsa lain selain bangsa Yahudi, adalah malang sekiranya Bangsa Melayu Malaysia cenderung untuk menjahanamkan bangsa sendiri yang tidak menyokong dan menyebelahi mereka)
Kalau anda mengatakan tidak semua anak-anak Melayu begitu, betul.. ada yang berani berniaga, tetapi berapa kerat yang ada.. DEB yang dibubarkan setelah 20 tahun, hanya kerana kegagalan dasar ini membantu orang-orang Melayu. Kek Ekonomi orang-orang Melayu telah dilahap sepuas-puasnya oleh mereka sendiri yang melaksanakan dasar. Dasar yang sangat bagus, tetapi perlaksanaannya yang sangat gagal. Melayu mampu berniaga sekiranya mendapat sokongan atau tender dari kerajaan, dan anda sendiri tau jawapannya, kalau tidak punya connection dengan sebilangan mereka, perniagaan anda akan sia-sia, berapa ramai kontraktor Melayu lahir dari DEB, ramai, terlalu ramai terutama penggiat aktif UMNO, berapa ramai kontraktor pasir.. terlalu ramai, semuanya penggiat aktif UMNO.. Kamu cari jutawan-jutawan Melayu di Malaysia.. dan cari sendiri kaitan jutawan-jutawan ini dengan UMNO. Kita sendiri sedia maklum, kekayaan yang akan melimpahi mereka sekiranya mereka mempunyai kaitan atau berani menyembah VIP-VIP UMNO ini, malah kekayaan mereka akan melimpah kepada Setiusaha-setiausaha mereka, Pembantu-pembantu Khas mereka, malah pemandu peribadi mereka pun mungkin bakal bergelar jutawan. Dan jutawan ini dengan mudahnya menjadi bankrap dan papa kedana sekiranya mereka menjadi penderhaka atau manusia yang tidak tau mengenang budi. Jadilah orang-orang melayu satu bangsa penakut yang sepanjang hidupnya terpaksa mengenang budi, yang tidak mau digelar penderhaka. Jadilah melayu yang selalu diungkit-ungkit tentang budi yang telah ditabur oleh pemerintah.
Beralih kita kepada isu kreatif.. pertanyaan pertama.. adakah bangsa Melayu penakut ini bangsa kreatif?? Sebagai satu contoh.. Filem melayu, adakah selamanya cerita hantu dan cinta terus melatari layar perak kita. Atau setidak-tidaknya lawak bodoh yang terus mengaut keuntungan tanpa beban dan tanggungjawab sosialnya. Bila akan lahir seorang melayu yang berani membuat filem yang genrenya lebih berat, kisah kemiskinan, kisah polis yang korup, kisah ahli politik yang gagal, atau kisah reality masa kini.. kerana tidak seorang pun yang berani membuat filem yang akan dipotong-potong oleh lembaga penapisan filem. Di Malaysia semua penjawat awamnya hendaklah digambarkan seperti malaikat, menggambarkan kepincangan institusi awam/social adalah satu kesalahan. Malah satu ketika dulu, polis trafik pernah mogok di seluruh KL, kerana seorang DJ radio menggambarkan mereka menerima rasuah, walaupun kebenaran ini diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia, kebenaran yang amat pahit untuk diterima mereka. Filem Melayu masih bersaing dengan filem luar yang lebih berani dalam berkarya ( bukan dari segi kelucahannya), yang lebih berpijak kepada realitinya.. Ramai khalayak yang sudah mulai bosan dengan filem-filem melayu yang hampir serupa jalan ceritanya, cinta atau hantu atau lawak bodoh yang melampau. Siapa yang berani berfikir diluar kotak??
Begitu juga dengan lirik lagu, lirik lagu yang berani mengkritik akan dibanned. Masih ingat lagi ketika isu rambut panjang kumpulan Wings dan Search, pada pendapat saya, isunya disini bukan rambut panjang, tetapi yang lebih penting adalah menyekat pengaruh band-band Rock ini yang liriknya lebih berani secara sinis mengkritik kerajaan ketika itu. Pengaruh band-band rock ini harus dimatikan, pengaruh yang akan melahirkan lebih ramai penderhaka. Penabur-penabur budi ini berjaya, pengaruh rock telah dapat dimatikan sepenuhnya, penjualan album-album band Rock ini jatuh merudum selepas mereka mengorbankan rambut mereka, pengikut-pengikut rock tidak mau lagi menyokong band-band rock yang pendek rambutnya, dan sejak itu, pendengar-pendengar muzik mula mengalih arah kepada muzik dari luar. Dan sehingga hari ini, album-album yang terjual tidak pernah dapat menandingi ketika zaman kegemilangan Rock dulu. Siapa yang sebenarnya menjahanamkan industry seni tanahair?? Masih mencari jawapan??
Ramailah juga penabur-penabur budi ini mengatakan bahawa berkat usaha mereka orang Melayu dapat menikmati kehidupan yang dinikmati hari ini, dapat berkereta kesana-sini, dapat makan dan tidak pernah kebulur dibumi tercinta ini.. dan belajarlah bersyukur dengan apa yang telah diusahakan mereka... Ya orang Melayu mesti bersyukur ketika bangsa lain memandu BMW, Mercedez sedangkan orang Melayu masih memandu Proton atau Produa (itupun setengah mati membayar ansuran bulanan) Melayu sangat bersyukur dapat merangkak ketika orang lain sudah berlari, Melayu sangat bersyukur dapat merenung bulan ketika orang lain sudah mencapai bulan.. Bersyukurlah dengan apa yang ada, terimalah seadanya dan berterima kasihlah kepada penabur-penabur budi ini kerana telah memakmurkan Melayu selama ini.
Ramai juga yang mendakwa, kebebasan harus ada sempadan garisannya, tetapi sekurang-kurangnya garisan itu biarlah jauh dihadapan.. dan garisan itu biarlah rasional.. Adakah orang Melayu terlalu bodoh sehinggakan pemerintah harus meletak garisan dimana saja mereka pergi. Adakah selamanya orang Melayu harus dibimbing dan dipandu.. bila agaknya orang Melayu ini boleh dibiar berlari sendiri? Siapa yang sibuk memberikan tongkat.. dan siapa pula yang minta diberikan roket agar boleh menjejak bulan.. dan siapa yang minta dilepaskan??
Teringat sejarah ternama Melayu.. “Singapura Diserang Todak” , kisah budak cerdik Hang Nadim yang dibunuh kerana takut kecerdikannya akan menumpaskan kerajaan singapura ketika itu.
Comments
Post a Comment