Dalam seminggu ini, dimana-mana sibuk kita membicarakan tentang video seks, apa yang menarik, diperingkat rakyat jelata, bukan pelakunnya yang menjadi isu, tapi perilaku perakam dan Trio yang sangat menyentuh tentang hak privasi seseorang.
Amatlah menghairankan, dimana sokongan terhadap kerajaan BN, bertambah padu dan stabil, video seks berkenaan hanyalah meruntuh kepercayaan kepada sistem dan pentadbiran kerajaan BN. Tidak keterlaluan jika dikatakan, tindakan memperhebahkan rakaman video seks itu kepada media adalah tindakan melulu, yang hanya mengundang kebencian rakyat kepada kerajaan BN, apatah lagi, ia dianggap sangat melampau, mengaibkan seorang pemimpin dan cuba memusnahkan kredibiliti seseorang atas nama politik.
Apakah dengan bermacam kajian dan tinjauan yang mengatakan sokongan rakyat jelata terhadap pimpinan DS Najib semakin meningkat, BN masih tidak berkeyakinan terhadap kajian dan tinjauan berkenaan. Adakah tinjauan itu boleh dipercayai, sekiranya BN sendiri masih tidak berkeyakinan akan beroleh sokongan rakyat pada PRU akan datang dan melancarkan satu lagi konspirasi untuk meruntuhkan atau menghancurkan kredibiliti ketua pembangkang yang bercita-cita untuk menjadi PM Malaysia.
Umno, BN sendiri tidak mengaku terlibat dalam kisah video berkenaan, maka bersungguh-sungguh segala jentera media perdana saban hari mempromosikan salah laku pelakun video berkenaan, tidak langsung mengfokus kepada etika dan integriti perakam dan perancangan konspirasi Trio dan kesungguhan Trio berkenaan membogelkan dan melondehkan maruah seorang manusia lain.
Bercakaplah tentang ketidakterlibatan Umno, tetapi siapa yang mempercayainya?, sehingga hari ini, orang yang bertindak merakam, mempratonton kepada wartawan masih dibela oleh mereka dan konco-konco media arus perdana. Sehinggakan layanan pihak berkuasa kepada Trio berkenaan, boleh diragui dan secara tidak langsung merperakukan penglibatan Umno dan kerajaan BN. Siapa yang mempercayai bahawa bekas ketua menteri berkaitan, bertindak atas kapasiti peribadinya, bukan atas kapasiti organisasi yang disertainya.
Anwar Ibrahim, setelah 8 tahun pernah menjadi TPM Malaysia, mengapakah hanya isu moralnya diperkatakan, tidak adakah isu yang lebih besar, seperti isu rasuah atau salahguna wang rakyat yang dibangkitkan. Jika isu-isu berkaitan dengan keselamatan negara atau yang berkaitan dengan wang rakyat yang boleh dibuktikan dengan kesalahan jenayah dan dapat dibawa ke Mahkamah, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai TPM, kerajaan BN akan dilihat lebih bermaruah dari menjaja kesah seks dan kesah seluar dalam Anwar Ibrahim. Adakah kesah seks dan hak-hak peribadinya akan mengganggu gugat periuk nasi kami, rakyat malaysia?. Tidak, dan kadang-kadang, cerita yang diulang tayang berkali-kali, tidak lagi menjadi perhatian dan tumpuan. Maka kisah seks dan skandal Anwar Ibrahim, hanya akan menjadi seperti cerita kemalangan bas, yang setiap tahun berulang-ulang. Percayalah, kisah sama dan skrip yang diulang-ulang bukan mengundang kebencian terhadap Anwar Ibrahim, tetapi semakin BN mengaibkan Anwar Ibrahim, rakyat semakin bersimpati kepadanya. Ramai semakin percaya, dengan ruang yang tidak diberi kepada Anwar Ibrahim untuk membela dirinya, BN hanyalah mereka-reka cerita. Berita-berita berkaitan moraliti Anwar Ibrahim adalah berita yang tidak perlu diberi perhatian, malah boleh dianggap sebagai fitnah politik. Lebih kerap cerita itu dimain dan dicanang di media-media perdana, lebih meluat dan menyampah mereka kepada BN. Semakin sempit ruang yang diberikan kepada Anwar Ibrahim untuk membela dirinya, semakin ramai yang mempercayai Anwar Ibrahim berada di pihak yang benar.
Ramai yang yakin, momentum kerajaan BN, semakin mantap untuk memenangi Pilihanraya (sama ada di Sarawak, atau PRU akan datang), tetapi sayang, video lucah yang didalangi dan dipersembahkan bagi tujuan menjatuhkan pihak pembangkang, hanyalah satu petaka untuk BN. Jika rakyat tidak melihat satu tindakan keras diambil terhadap orang yang merakam, dan mempertontonkan tayangan lucah hanya untuk menjatuhkan seseorang, kerajaan BN pastinya akan tumbang. Rakyat Malaysia, yang berkeyakinan dan berpegang teguh pada budaya ketimurannya, tidak dapat menerima budaya menyelak kain orang lain, hanya untuk menjatuh dan memalukan pihak lawan. Malaysia bukan USA.
Comments
Post a Comment